Saturday, March 19, 2011

Nasib Pesara GLC

   Satu soal yang penting setelah hampir tiga puluh tahun penswastaan, ialah nasib pekerja-pekerja atau kakitangan yang diswastakan. Kini dikatakan kakitangan kerajaan lebih beruntung dari kakitangan swasta terbabit dengan gaji permulaan yang lebih tinggi,elaun yang lebih menarik, kebajikan yang lebih terserlah dan sebagainya. Di peringkat perkeranian umpamanya, kakitangan kerajaan menerima gaji permulaan melebihi RM1000 sebulan berbanding kakitangan syarikat yang diswastakan melalui proses penswastaan. Umpamanya kakitangan Pos Malaysia di peringkat perkeranian hanya menerima RM800 sebagai gaji permulaan. Elaun sewa rumah bagi kakitangan Pos Malaysia (kerani) hanyalah RM150.00 berbanding RM300 bagi kakitangan kerajaan. Begitu juga elaun kolar, atau elaun Bandar, kakitangan Pos Malaysia (kerani) hanya menerima separuh dari apa yang diterima oleh kakitangan awam. Dengan demikian tidak hairanlah jika berlaku penghijrahan semula ke dalam perkhidmatan awam dari Pos Malaysia dan lain-lain syarikat GLC memandangkan kemudahan-kemudahan yang disediakan.

 Satu perkara yang lebih penting ialah nasib kakitangan GLC yang telah bersara yang bekerja di zaman swasta dan bekerja di zaman kerajaan. Ertinya mereka merasa bekerja di kedua-dua era, era sebelum penswastaan dan era selepas penswastaan. Mereka ini apabila bersara akan menerima pencen minimum, di sekitar RM200 hingga RM400 sahaja kerana mereka diminta mencarum semula ke dalam skim KWSP sebaik satu-satu syarikat itu diswastakan. Apa yang terjadi ialah simpanan mereka (kerani) tidak melebihi RM200,000 setelah tamat tempuh perkhidmatan. Laporan-laporan yang diterima, termasuk yang didedahkan di mass media tempatan, mereka ini akan kehabisan wang simpanan KWSP dari satu hingga tiga tahun selepas persaraan. Tinggallah pencen minimum meraka di zaman kerajaan dahulu di sekitar RM200- RM400 sebulan. Apakah yang dapat dilakukan dengan wang sebesar itu pada zaman sekarang?
    Tanpa pilihan lain, akhirnya pesara-pesara syarikat kerajaan yang diswastakan ini terpaksa bekerja semula demi untuk menyambung sisa-sisa hayat mereka, dalam keadaan kesihatan yang mungkin sudah mula terganggu dan tenaga sudah berkurangan akibat faktor umur. Sesetengahnya terpaksa menjadi pemandu teksi, menjadi jaga (guard), atau terpaksa menjual nasi lemak demi untuk meneruskan survival hidup ini. Tekanan itu menjadi semakin bertambah andainya mereka masih mempunyai anak yang masih bersekolah di peringkat rendah atau menengah. Teknanan menjadi semakin kuat bila anak-anak mereka dapat melanjutkan pelajaran ke IPTA/IPTS yang memerlukan pembiayaan yang lebih besar. Pinjaman PTPTN ternyata semakin sukar, dan PTPTN hanya sekadar membayar yuran akademik sahaja, selebihnya soal makan dan tempat tinggal (asrama) terpaksa ditanggung oleh keluarga.
   Dengan demikian, apakah kebajikan yang dapat diterima oleh golongan ini? Apakah dasar penswastaan membela hidup mereka terutama selepas bersara? Tuntutan Kesatuan Sekerja untuk mendapatkan pencen dan gaji minimum disambut dengan sikap membisu kerajaan  . Jadi, di manakah dan siapakah yang untung dalam dasar penswastaan ini?
   Persoalannya kini adakah Kakitangan IIUM ingin menjadi Syarikat GLC yang kelihatan pekerja-pekerjanya tidak terbela selepas mereka bersara dari perkhidmatan, atau bersama KESATU menjadikan IIUM lebih baik di bawah  Status Badan Berkanun ( Skim Pencen Kerajaan ).Terserahlah pada warga IIUM untuk menyokong kami dan sahutlah cabaran bersama kami dengan menjadi ahli KESATU.
Sekian harap maklum ,untuk renungan bersama.