Tuesday, March 22, 2011

Isu yang dibincangkan pada Perjumpaan khas bersama Presiden IIUM

Assalamualaikum Ahli KESATU,

  Mesyuarat berlangsung lebih kurang sejam tersebut telah diadakan pada 17hb Mac 2011 jam 1.30 ptg. di Dewan Senat, UIAM dipengerusikan oleh Y.Bhg. Tan Sri Mohd Sidek Hasan, Presiden UIAM merangkap Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan pihak pengurusan diwakili oleh Pengarah Eksekutif, MSD manakala Pn. Rahmah, Pegawai Khas kepada KSN turut hadir.
  Tn. Hj. Yazid, Presiden KESATU memulakan perbincangan dengan menyatakan bahawa KESATU tetap membawa isu pemberian pencen kepada kakitangan UIAM yang mana akan melibatkan penukaran status UIAM, isu kenaikan yuran IIUM Educare dan isu pengiktirafan surat jaminan (GL) UIAM di hospital kerajaan.

Hujah-hujah dari AJK KESATU yang hadir di dalam perbincangan tersebut adalah seperti berikut:-
1. KESATU tetap dengan pendirian dengan isu pencen yang melibatkan penukaran status UIAM kepada badan berkanun. Tanpa kad pesara, KESATU merasakan nasib kakitangan UIAM tidak terjamin di masa hadapan. Status UIAM yang berada di dua alam iaitu alam kerajaan dan swasta perlu dikaji semula kerana telah menyebabkan pelbagai masalah kepada kakitangan iaitu tidak mendapat skim pencen dan ada pekeliling kerajaan yang tidak dilaksanakan di UIAM.
2. KESATU membantah pengambilalihan IIUM Educare di bawah IIUM Holdings dan telah menyebabkan kenaikan yuran secara mendadak. KESATU juga telah mengemukakan hujah-hujah mengenai perkara ini memandangkan penjagaan anak-anak kakitangan adalah salah satu kemudahan bagi kakitangan. Antaranya pemotongan gaji tanpa persetujuan staf. KESATU juga menyatakan rasa kesal kerana walaupun selepas perundingan dengan Y.Bhg. Rektor tetapi pihak universiti masih tidak berganjak dengan keputusan pengambilalihan IIUM Educare. KESATU memberi cadangan balas agar masalah IIUM Educare dapat diatasi dengan menyerap mereka sebagai kakitangan UIAM Gred 17 memandangkan punca utama pengambilalihan IIUM Educare adalah kerana gaji mereka dibawah paras kemiskinan iaitu RM400-RM600. KESATU juga menyatakan IIUM Educare tidak perlu diketuai oleh kakitangan yang berkelulusan Doktor Falsafah untuk menguruskan kanak-kanak berumur 1 – 6 tahun dan tidak perlu Lembaga Pengarah kerana terpaksa membayar gaji dan elaun yang tinggi.
3. KESATU juga telah memohon supaya isu surat jaminan ini diberi perhatian khusus oleh kerajaan oleh kerana ada kes surat jaminan UIAM tidak diiktiraf di hospital kerajaan sebagai contoh kepala surat UIAM adalah company. Perlunya ada satu penyelesaian yang bersifat tetap mengenai hal ini kerana perkara ini telah berlarutan sebegitu lama.
Antara komen Y.Bhg. Tan Sri diakhir mesyuarat ialah :-
1. Y.Bhg. Tan Sri menegur pihak pengurusan kerana bayaran bantuan khas kewangan pada hujung tahun lepas lambat dijelaskan. Tidak perlu menunggu sehingga kakitangan meminta bayaran barulah hendak dijelaskan.
2. Y.Bhg.Tan Sri maklum bahawa UIAM memang berada di dalam dua alam tetapi alam yang tidak baik.
3. Y.Bhg. Tan Sri telah memberi jaminan akan memberikan jawapan dalam pertemuan akan datang iaitu lebih kurang enam minggu lagi mengenai perkara-perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat.
   KESATU juga telah menyampaikan surat bantahan mengenai pengambilalihan IIUM Educare dan kenaikan yuran secara serahan tangan kepada Y.Bhg. Tan Sri sendiri dan satu salinan surat berkenaan kepada Y.B. Menteri Pengajian Tinggi, Y.B. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Y.A.Bhg. Datin Sri Rosmah Mansor, PERMATA, Dr. Haslina, Pengerusi IIUM Educare Parents Committee dan Y.Bhg. Dato’ Presiden CUEPACS.
   KESATU telah diwakili oleh Tn. Hj. Yazid (Presiden), Sdra. Fakhrurrazi (Naib Presiden), Sdra. Khalid (Setiausaha), Sdra. Shamsul (Pen. S/usaha), Sdra. Zakaria (Bendahari), Sdra. Khairul Anuar (AJK), Sdra. Suhairi (AJK), Sdra. Hamri (AJK), Sdri. Aznita (AJK) dan Sdri. Salmah Md Shah (AJK) manakala dua AJK dari Kampus Kuantan tidak dapat hadir kerana sedang bercuti.

Wassalam.Harap Maklum.