Tuesday, March 1, 2011

KERTAS KERJA PEWUJUDAN SKIM PENCEN PERKHIDMATAN AWAM MELIBATKAN PENUKARAN STATUS UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA (UIAM) DARIPADA SYARIKAT KEPADA BADAN BERKANUN

Assalamualaikum wbt
Untuk makluman semua ahli KESATU

KERTAS KERJA PEWUJUDAN SKIM PENCEN PERKHIDMATAN AWAM MELIBATKAN PENUKARAN STATUS UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA (UIAM) DARIPADA SYARIKAT KEPADA BADAN BERKANUN

   Objektif kertas kerja ini adalah untuk memperjuangkan Skim Persaraan Perkhidmatan Awam dan implikasinya memerlukan menukarkan status UIAM daripada syarikat kepada Badan Berkanun. Kakitangan UIAM berasa tidak adil kerana tidak mendapat bayaran ganjaran pencen secara bulanan dan tidak mendapat kad pesara yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam bagi faedah perubatan percuma di hospital-hospital kerajaan.

   Kertas Kerja seperti tajuk di atas bagi menyokong usaha KESATU untuk memperjuangkan "Skim Persaraan Perkhidmatan Awam" (skim pencen kerajaan) telah pun diserahkan melalui serahan tangan pada 24hb Februari 2011 kepada Pengerusi, Lembaga Pengurusan Universiti (LPU) merangkap Presiden UIAM/Ketua Setiausaha Negara iaitu Tan Sri Mohd. Sidek Hassan di Putrajaya sepertimana yang telah diputuskan oleh Y.Bhg. Datuk Ab. Rahim Md Noor, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada mesyuarat di KPT pada 10hb Februari 2011. Serahan ini telah dilakukan oleh wakil KESATU iaitu Tn. Hj Mohd Yazid (Presiden), Sdr. Khalid (Setiausaha), Sdr. Zakaria (Bendahari), Sdr. Ahmad Suhairi (AJK) dan Sdr. Mohd Hamri (AJK).
  Satu salinan kertas kerja juga telah diserahkan secara serahan tangan pada hari yang sama kepada Y.B. Dato Sri Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi, Y.Bhg. Datuk Ab. Rahim Md. Noor, Ketua Setiausaha KPT. Manakala Y.Bhg. Datuk Hj. Omar Osman, Pengerusi GAKUM merangkap Presiden CUEPACS menerima kertas kerja berkenaan pada 26hb Februari 2011 semasa Bengkel Skim Perkhidmatan Universiti di UTHM, Batu Pahat. Alhamdulillah, walaupun masa diberi cuma dua minggu iaitu bermula pada tarikh perjumpaan bersama Y.Bhg. Datuk KSU di KPT namun kertas kerja tersebut dapat disiapkan dalam tempoh masanya.
 Kami, Majlis Jawatankuasa Kerja (MJK) KESATU mengharapkan agar dengan usaha ini akan mendatangkan hasil demi masa depan wargakerja UIAM. Walau pelbagai rintangan kami hadapi, namun dengan sokongan padu ahli-ahli KESATU, KESATU tetap berjuang menuntut hak dan membela nasib ahli-ahli KESATU selaras dengan usul memilih Skim Pencen (Kerajaan) yang diluluskan dengan sebulat suara pada Mesyuarat Agung Pertama KESATU pada 12hb Oktober 2010. Usul ini menjadi penyebab dan kekuatan kepada KESATU untuk terus memperjuangkan Skim Pencen Kerajaan hingga berjaya, Insya Allah.
Sekian Terimakasih.