Thursday, September 19, 2013

Saman: Kesatuan Sekerja DBP menang kes



18 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak dengan kos saman kes fitnah yang difailkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kamarul Zaman Shaharudin ke atas dua pemegang jawatan Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP.Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Wira Kamaludin Md Said ketika membaca penghakiman bertulisnya pagi tadi memutuskan bahawa saman yang difailkan oleh Kamarul Zaman itu wajar ditolak kerana beliau tidak boleh menyaman tort fitnah ke atas kedua-dua defendan iaitu Hasni Abas dan Yusuf Salim kerana mereka adalah pemegang jawatan Kesatuan Sekerja DBP.
Pada masa saman itu difailkan Hasni memegang jawatan Yang Dipertua Kesatuan manakala Yusuf pula adalah Setiausaha Kesatuan. Mereka disaman atas kapasiti pemegang jawatan Kesatuan Sekerja DBP.Dalam penghakimannya, Hakim bersetuju dengan hujah peguam defendan bahawa saman Kamarul Zaman atas tuntutan tort fitnah adalah bertentangan dengan Seksyen 22 Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang memberi imuniti kepada mana-mana pemegang jawatan Kesatuan Sekerja atas tuntutan tort yang dilakukan oleh mana-mana pemegang jawatan Kesatuan selagi mana ia dilakukan bagi pihak kesatuan.Hakim berpuas hati berdasarkan keterangan adalah jelas segala surat yang didakwa oleh Kamarul Zaman memfitnah beliau ditulis oleh Hasni bukan atas kapasiti peribadi beliau sebaliknya ianya dtulis oleh Hasni atas kapasiti beliau sebagai Yang Dipertua Kesatuan dan ia ditulis bagi pihak kesatuan.
Surat-surat yang ditulis oleh Hasni adalah bagi menyatakan bantahan rasmi kesatuan atas pelantikan Kamarul Zaman sebagai Timbalan Ketua Pengarah DBP yang dikatakan tidak mengikut peraturan yang ditetapkan oleh DBP sendiri.Keputusan kes ini adalah boleh dikira satu ‘landmark’ kerana buat kali pertamanya mahkamah memutuskan bahawa seorang pemegang jawatan Kesatuan Sekerja bagi tuntutan tort iaitu tort fitnah. Dalam samannya Kamarul Zaman juga menamakan Kesatuan Sekerja DBP dan 4 orang pemegang jawatan kesatuan tersebut. Bagaimanapun tuntutan ke atas kesatuan awal-awal lagi ditolak oleh mahkamah apabila peguam defendan memfailkan permohonan membatalkan saman tersebut.