Friday, October 22, 2010

Rumusan Taklimat Opsyen Persaraan UIAM di Kampus UIAM Gombak.

Oleh kerana tiada penerangan diadakan oleh mana-mana pihak mengenai opsyen menukar status UIAM kepada badan berkanun maka Kesatuan Kakitangan Sokongan Satu International Islamic University, Malaysia (KESATU) telah mengambil inisiatif sendiri menganjurkan Taklimat Penerangan Mengenai Soal Selidik Opsyen Persaraan UIAM oleh Tn. Hj. Omar Osman, Presiden, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pada 21hb Oktober 2010 di Experimental Hall, Kampus Gombak. Taklimat ini telah dihadiri oleh kakitangan UIAM dari pelbagai jabatan dan jawatan bermula dari gred 1 hingga 54.

Rumusan dari Taklimat berkenaan, semua yang hadir bersetuju sebulat suara agar satu Memorandum bersetuju menukar status UIAM kepada Badan Berkanun diserahkan oleh KESATU kepada pengurusan tertinggi UIAM dan seterusnya melalui CUEPACS kepada pihak kerajaan.

Kecuali UIAM, kesemua 19 Universiti Awam (IPTA) seperti UPM, UKM, USIM, UMP dsb. adalah ditubuhkan sebagai badan berkanun. Sebagai badan berkanun, sesebuah universiti itu ditadbir mengikut statut dan peraturan-peraturan yang jelas dan kebajikan kakitangan seperti kemudahan perubatan dan pemberian pencen adalah termaktub dan terjamin.

Harap Maklum.