Monday, February 28, 2011

‘Tiada wakil GAKUM gubal SSU’

2011/02/28/Berita Harian


Kesatuan kecewa, kesal 55,000 ahli seperti dianaktirikan: Omar Osman

BATU PAHAT: Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia (GAKUM) kecewa apabila tiada wakil gabungan itu dibabitkan dalam penggubalan Sistem Saraan Universiti (SSU) walaupun ia membabitkan masa depan kira-kira 55,000 ahlinya di 20 IPTA.
Presiden GAKUM, Datuk Omar Osman, berkata Sistem Saraan Universiti sedang giat digubal dengan beberapa mesyuarat sudah diadakan membabitkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Pendaftar IPTA dan kakitangan akademik.
Omar yang juga Presiden CUEPACS berkata, gabungan itu terpaksa menubuhkan jawatankuasa bertindak khas bagi mendapatkan input dan cadangan ahli gabungan terhadap sistem berkenaan sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi memastikan nasib ahli GAKUM terbela.

 “Kita amat kecewa dan kesal kerana dianaktirikan dan mendapat layanan berat sebelah daripada KPT kerana menggubal SSU tanpa kehadiran wakil GAKUM, sedangkan pihak lain termasuk kakitangan akademik turut mempunyai wakil mereka.

“Seolah-olah 55,000 kakitangan pentadbiran dan sokongan di 20 IPTA seluruh negara tidak diperlukan sehingga pandangan dan pendapat mereka mengenai masa depan mereka sendiri tidak mahu diambil kira sedangkan ramai kami yang mempunyai kelayakan diploma dan ijazah.

“Siapa pula yang mahu memperjuangkan dan membela nasib ahli GAKUM, sedangkan mereka tidak dibabitkan sama dalam penggubalan sistem itu. Adakah adil nanti apabila sistem itu sudah digubal, ahli GAKUM dipaksa menerimanya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Bengkel Skim Perkhidmatan Sokongan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, semalam.

Ahli GAKUM terdiri dari kakitangan pentadbiran dan sokongan Gred 1 hingga 42 membabitkan Penolong Jurutera, Penolong Pegawai Kewangan, Penolong Akauntan, Penolong Veterinar, Pembantu Am dan Pembantu Makmal.

Dalam pada itu, mengulas penubuhan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Omar mencadangkan bantuan guaman dan khidmat nasihat yayasan itu diperluaskan kepada warga tempatan berpendapatan di bawah RM35,000 setahun atau RM3,000 sebulan.

Pada masa ini, bantuan dan khidmat YBGK ditetapkan dan dihadkan kepada semua warga negara tempatan berpendapatan di bawah RM25,000 setahun atau RM2,000 sebulan.

Omar berkata, langkah itu wajar kerana golongan berpendapatan RM35,000 setahun masih tidak mempunyai kemampuan kewangan mencukupi untuk membayar khidmat guaman.

“Dengan yuran guaman yang tinggi ketika ini, sara hidup yang tinggi serta kenaikan harga barang, saya berpendapat mereka bergaji RM3,000 sebulan juga masih tidak mampu menampung kos guaman dan amat memerlukan bantuan guaman,” katanya.

YBGK dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Februari lalu hasil inisiatif kerajaan bersama Majlis Peguam dalam memenuhi hasrat kerajaan untuk memastikan keadilan dinikmati semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.