Monday, February 14, 2011

Keputusan Mesyuarat Berkenaan Cadangan Pewujudan Skim Pencen UIAM.

Pada 10 Februari 2011, KESATU telah menghadiri MESYUARAT BERKENAAN CADANGAN PEWUJUDAN SKIM PENCEN UIAM di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Datuk Ab Rahim Bin Md Noor, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Di dalam mesyuarat tersebut, Kementerian memaklumkan bahawa tiga (3) Opsyen telah dicadangkan berdasarkan dari kajian oleh Jawatankuasa Teknikal Kementerian iaitu:

Opsyen 1: Skim Pencen Perkhidmatan Awam ( Implikasinya memerlukan Status UIAM sebagai syarikat berhad ditukar kepada badan berkanun.Alternatif ini agak sukar dilaksanakan oleh kerana melibatkan implikasi undang-undang ).

Opsyen 2: Skim Persaraan UIAM (  Meneruskan skim persaraan sedia ada dengan mencarum kepada KWSP iaitu sebanyak 11%  caruman pekerja dan 12% caruman majikan,dan menambah caruman majikan sebanyak 6.8% kepada Tabung Faedah Persaraan UIAM (RBF) menjadi 12.3%.Pihak UIAM menguruskan sendiri sepenuhnya tabung ini.Implikasinya cadangan ini ialah semua caruman kepada KWSP sebelum ini perlu dipindahkan ke Tabung Faedah Persaraan UIAM (RBF) bagi setiap kakitangan UIAM yang memilih skim ini.Kos pengendalian Tabung RBF adalah tinggi dan memberi implikasi kewangan kepada UIAM.

Opsyen 3: Skim Persaraan UIAM - Menerus skim persaraan sedia ada dengan mengekal caruman majikan dalam RBF sebanyak 5.5% bagi faedah pekerja,dan meningkatkan caruman majikan kepada KWSP daripada 12% kepada 18.8% (peningkatan sebanyak 6.8% ) supaya menghampiri nilai faedah yang diterima dari Skim Pencen Perkhidmatan Awam.Mengikut peraturan yang ditetapkan,sekiranya caruman majikan kurang daripada 19% maka ia tidak dikenakan cukai dan urusan persaraan boleh dilaksanakan oleh KWSP.

     Pihak Pengurusan UIAM ( MSD ) mengambil pendirian memilih Opsyen 3 iaitu Menerus skim persaraan sedia ada dengan mengekal caruman majikan dalam RBF sebanyak 5.5% bagi faedah pekerja,dan meningkatkan caruman majikan kepada KWSP daripada 12% kepada 18.8% (peningkatan sebanyak 6.8% ) supaya menghampiri nilai faedah yang diterima dari Skim Pencen Perkhidmatan Awam.Mengikut peraturan yang ditetapkan,sekiranya caruman majikan kurang daripada 19% maka ia tidak dikenakan cukai dan urusan persaraan boleh dilaksanakan oleh KWSP
Diikuti oleh pihak KURNIA, dan ASA  memilih Opsyen 3  iaitu  sama seperti Pilihan MSD. Manakala PMA mengambil pendirian memilih  mengikut Majoriti ( Keputusan teramai ).
  Namun begitu KESATU mengambil pendirian memilih Opsyen 1 iaitu Skim Pencen Kakitangan Awam (Status UIAM perlu ditukar kepada Badan Berkanun) di mana ia selari dengan kehendak Memorandum dan juga hasil keputusan Pungutan Suara yang dijalankan. Walaupun di serang pelbagai sudut Kami AJK KESATU tetap mempertahankan Opsyen 1 walaupun menghadapi risiko yang tinggi berhadapan dengan Pengurusan UIAM dan  Peringkat Tertinggi  Kementerian Pengajian Tinggi.
Berdasarkan pandangan yang telah dikemukan oleh semua pihak (KESATU, KURNIA, ASA dan PMA), mesyuarat membuat ketetapan TIADA KONSENSUS (PERSETUJUAN BERSAMA) dicapai.
    Oleh itu, Ketua Setiausaha ,Kementerian Pengajian Tinggi telah memberi mandat kepada KESATU untuk mengemukakan cadangan balas berkenaan pemilihan Opsyen 1 kepada Lembaga Pengarah Universiti dan Wakil dari Kementerian Kewangan pula akan memberi cadangan berkenaan budget keseluruhan jika perkara ini di persetujui oleh Kerajaan.

Sehubungan dengan perkembangan ini, KESATU akan terus berusaha untuk membawa mandat warga UIAM yang telah dizahirkan melalui Pungutan Suara kepada pihak atasan.

Diatas kerjasama yang dihulurkan sepanjang KESATU membuat Pungutan Suara, KESATU mengucapkan penghargaan dan ribuan terima kasih yang tidak terhingga. Sama-samalah kita berdoa ke hadrat Allah agar pihak Kerajaan menerima cadangan KESATU untuk membela kebajikan staf UIAM seluruhnya.

Sekian, Terima Kasih.
Wassalam.