Saturday, February 11, 2012

Kembalikan Opsyen ketiga-CUEPACS

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan mengembalikan opsyen ketiga iaitu pilihan bagi penjawat awam memasuki mana-mana jabatan lain yang berkaitan sekiranya jabatan mereka diswastakan.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, ini kerana dua opsyen yang kini ditawarkan kepada penjawat awam terlibat iaitu memasuki jabatan yang telah diswastakan itu ataupun bersara awal mengikut Akta Pencen 1980 (Akta 227) dilihat tidak adil kepada golongan tersebut.
"Opsyen ketiga yang tidak digunakan lagi sejak 2002 sebenarnya penting kerana sejak kebelakangan ini apabila berlakunya penswastaan, banyak rintihan yang kami dengar daripada penjawat awam yang berasakan diri mereka diugut untuk memasuki syarikat swasta tersebut.
"Sekiranya berlaku penswastaan, mereka juga akan terputus hubungan dengan hal ehwal Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan tiada tempat mengadu. Kita tidak akan tahu nasib mereka di bawah penswastaan.
"Bagaimanapun, CUEPACS tidak menentang dasar penswastaan atau pengkorporatan jika ia memberi manfaat kepada semua pihak. Namun, sekiranya penjawat awam tiada opsyen tambahan dalam memilih laluan karier mereka, ia dapat menyebabkan pelbagai masalah terutama apabila mereka sakit atau kos sara hidup yang tinggi," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bersama 139 kakitangan Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang akan mengalami penswastaan dalam masa yang terdekat.
Sehubungan itu, jelas Omar, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan supaya dipertimbangkan opsyen ketiga itu bagi digunakan semula.
Berhubung penswastaan JPP, pihaknya mencadangkan kerajaan tidak menswastakan jabatan itu sebaliknya mengkorporatkannya serta memberi mereka pilihan opsyen ketiga.
Beliau berkata, bantahan oleh 139 kakitangan JPP yang terdiri daripada kelompok teknikal termasuk jurutera dan juruteknik perlu didengari kerajaan dengan tidak meneruskan langkah penswastaan itu.
"Sekiranya JPP mahu diswastakan juga, ambil sahaja pekerja dalam kalangan 35,000 pekerja berstatus kontrak untuk ditawarkan ke swasta. Jangan sakitkan mereka yang telah lama berkhidmat," ujarnya.