Tuesday, April 12, 2011

Jangan politikkan urusan kakitangan awam.

Politik ialah seni segala kemungkinan yang telah menjadi ‘pepatah’ yang sangat popular kepada orang politik sehingga selalu disebut bahawa di wilayah ini, tiada sahabat dan tiada seteru abadi.

Dalam wilayah ini, persaingan politik boleh menghasilkan permuafakatan demi mengejar satu matlamat iaitu mendapatkan kekuasaan walaupun berbeza ideologi dan falsafah perjuangan.
   Permusuhan mendadak boleh bertukar menjadi persahabatan. Pertikaian lampau boleh dilupakan dan dengan mudah didamaikan. Inilah seni segala kemungkinan dan begitu jugalah sebaliknya boleh berlaku.
Formula politik sebagai seni kemungkinan menjadikan politikus selalu berfikir bila harus menyerang, mengalah bahkan mengiktiraf lawan mereka untuk kepentingan tertentu. Di wilayah politik ini, apa juga mungkin boleh berlaku tetapi jangan pula selalu berharap ada adab dan susila.
Mungkin sebab itu, kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed di bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pada 6 April lalu pun mahu dipolitikkan. Secara kebetulan pula pada hari itu bermulanya kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10.
   Sungguh tragis, kematian seorang pegawai kerajaan yang sedang dalam proses soal siasat berhubung dakwaan rasuah mahu diheret dalam wilayah yang bukan tempatnya - politik dan kempen pilihan raya.
Sedangkan, tidak mungkin satu lagi kematian saksi di premis SPRM boleh dibenarkan oleh badan itu selepas ‘hiruk-pikuk’ terhadap kes Teoh Beng Hock pada Julai 2009. Kes Beng Hock bukan sahaja telah menjejaskan kredibiliti SPRM yang sedang melancarkan perang besar membanteras rasuah tetapi turut dijadikan bahan kempen pembangkang untuk meraih undi.
Sedikit sebanyak, pembangkang telah berjaya. Manipulasi di pentas politik menggunakan kes Beng Hock yang digaul dengan sentimen perkauman dikatakan berjaya menambah undi pembangkang terutama kaum Cina.
Nampaknya strategi yang sama mahu digunakan pembangkang di Sarawak untuk mempengaruhi 979,796 pengundi yang akan keluar mengundi pada Sabtu ini. Mungkinkah kematian Ahmad Sarbani akan mempengaruhi pola pengundian di Sarawak?
Dalam reaksi segeranya, DAP melalui Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng cuba mencari dalih untuk mengaitkan Barisan Nasional (BN) supaya turut dipersalahkan atas kematian Ahmad Sarbani. Beliau dengan mudah membuat kesimpulan bahawa atas insiden itu, rakyat kini tidak mempercayai kata-kata dan janji-janji yang dibuat oleh beberapa pemimpin BN.
Guan Eng dalam kenyataan pada hari insiden mengejutkan itu berlaku menekankan bahawa SPRM tanpa kredibiliti (kerana gagal menyiasat tuduhan rasuah terhadap Ketua Menteri Sarawak) menunjukkan kerajaan BN tidak serius untuk memerangi rasuah. Beliau mencadangkan SPRM dirombak semula dan mahu badan itu ‘menegakkan undang-undang secara saksama’.
Tetapi yang biasa dilihat dan didengar ialah hiruk-pikuk politik apabila ada pemimpin pembangkang yang disyaki terlibat rasuah. Mengumumkan nama mahupun memanggil mereka untuk soal siasat pun diremehkan dengan ulasan SPRM jadi alat memburuk-burukkan pembangkang.
Mujurlah strategi menangguk di air keruh ini kurang menjadi kali ini. CUEPACS yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal kakitangan kerajaan memberi amaran supaya parti politik tidak mencampuri urusan kakitangan awam.
Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman menegaskan kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli politik sebenarnya hanya mengguris hati kakitangan kastam, bukan membantu menaikkan semangat.
“Mereka tidak perlu lebih ke hadapan berbanding kami dengan menyuarakan segala yang tidak dipersetujui oleh kakitangan kastam,” kata Omar yang mengadakan pertemuan dengan pimpinan Kesatuan Pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Persatuan Pegawai Kanan Kastam (Pekasa) selepas dua hari insiden di Cochrane.
Dan sehingga hari ini, kematian Ahmad Sarbani tidak seperti Beng Hock hanya disentuh sepintas lalu pada kempen pilihan raya Sarawak.
Tidak salah untuk pembangkang mengkritik cara kerja SPRM. Tetapi janganlah memainkan sentimen rakyat Malaysia terutama keluarganya yang juga mahukan jawapan meyakinkan daripada kerajaan.
   Serangan kepada SPRM juga perlu ada hadnya. Pada masa kita bersimpati dengan kematian Ahmad Sarbani, insiden yang berlaku dua kali ini janganlah sampai membantutkan iltizam dan tanggungjawab besar SPRM yang sudah banyak mencatat kejayaan.
Selain itu, insiden ini juga diharapkan bukan sahaja dapat memberi pengajaran kepada SPRM tetapi panduan untuk menjamin keselamatan tertuduh atau saksi yang sedang berada dalam kawalan mereka.
Jangan sesekali biarkan pembangkang yang sentiasa mahu ‘menangguk di air keruh’ memanipulasi kelemahan atau kesilapan yang berlaku. Yang penting jangan beri mereka peluru, kerana yang selalu berlaku mereka akan salah gunakan peluru itu untuk kepentingan politik.

Posted by CUEPACS