Sunday, October 4, 2026

29 September 2026:
KEPUTUSAN TELAH DIBUAT, AMANAH TELAH DIBERIKAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera kepada seluruh ahli KESATU IIUM.
Alhamdulillah, Mesyuarat Agung DwiTahunan KESATU IIUM serta proses pemilihan Majlis Jawatankuasa bagi sesi 2026–2028 telah selesai dilaksanakan.
Tahniah kepada semua calon yang telah dipilih dan diberikan amanah oleh ahli. Bagi tiga jawatan yang dipertandingkan, Br. Ahmad Suhairi bin Mat Jebah telah dipilih sebagai Presiden, Br. Yusni bin Yusop sebagai Setiausaha dan Br. Ahmad Rahimie bin Awang sebagai Bendahari.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh ahli KESATU yang hadir, mengundi dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Setiap undi yang diberikan merupakan suara ahli dan satu amanah kepada barisan kepimpinan yang telah dipilih.
Dalam mana-mana proses pemilihan, sudah tentu terdapat perbezaan pandangan dan pilihan. Namun, apabila keputusan telah dibuat, masa untuk berkempen telah berakhir dan kini tiba masanya untuk kita kembali bersatu sebagai satu keluarga KESATU.
Kepada calon-calon yang telah menawarkan diri, terima kasih atas kesediaan untuk berkhidmat dan menyumbang kepada kesatuan. Sumbangan kepada KESATU tidak terhenti pada sesuatu jawatan atau keputusan pemilihan.
Yang menang memikul amanah, yang bertanding telah menyumbang kepada proses demokrasi, dan seluruh ahli tetap merupakan kekuatan KESATU.
Marilah kita bersama-sama memberikan ruang dan sokongan kepada barisan kepimpinan sesi 2026–2028 untuk meneruskan tanggungjawab memperjuangkan kebajikan dan kepentingan ahli.
Pemilihan telah selesai.
Perbezaan kita letakkan di belakang.
Amanah ahli kita junjung bersama.
KESATU kita, tanggungjawab kita bersama.
Terima kasih atas kepercayaan dan sokongan semua.
“BERSATU KITA KUAT, BERSAMA KITA BERKHIDMAT.”
Majlis Jawatankuasa KESATU IIUM
Sesi 2026–2028