10 Februari 2026:
Program Rewang “Welcoming Ramadhan @ IIUM” Kampus Gombak telah berlangsung dengan penuh kemeriahan dan semangat kebersamaan melalui aktiviti penyediaan bubur lambuk sebagai simbolik menyambut ketibaan bulan Ramadan.
Program ini telah diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selaku Ketua Perlembagaan (Canselor) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Baginda berkenan menyertai aktiviti memasak bubur lambuk bersama warga universiti, sekali gus menyemarakkan lagi suasana rewang dalam semangat ukhuwah dan kebersamaan.
Turut hadir memeriahkan program ialah Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Presiden UIAM yang ke-10, barisan Pengurusan Tertinggi UIAM, serta wakil-wakil kesatuan kakitangan. KESATU dan KURNIA bertindak sebagai jawatankuasa pelaksana program, memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran dan kejayaan penganjuran.
Presiden KESATU, Br. Tc. Ahmad Suhairi, dan Presiden KURNIA, Br. Saupi Azran Muhamad Tamjis turut bersama-sama turun padang menyediakan bubur lambuk dan berinteraksi dengan warga kampus, mencerminkan semangat kepimpinan yang dekat dengan komuniti.
Penganjuran program ini bukan sahaja menghidupkan tradisi rewang dalam suasana kampus, malah memperkukuh hubungan silaturahim antara pihak pengurusan dan warga universiti menjelang Ramadan yang penuh keberkatan. Semoga inisiatif sebegini terus menjadi platform menyatukan warga IIUM dalam semangat muafakat dan kebajikan bersama.