Thursday, January 19, 2012

10 ahli pasukan khas semak semula SBPA

2012/01/19
Berita Harian

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam menyerahkan watikah perlantikan kepada 10 ahli pasukan petugas bagi menyemak semula Pelaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, pasukan khas dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam itu juga akan menjemput wakil kementerian, ketua skim perkhidmatan, kesatuan dan persatuan sekerja serta pihak berkaitan jika ada keperluan dalam usaha menyelesaikan isu berbangkit SBPA yang dikuatkuasakan 1 Januari lalu. “Semua isu berhubung pelaksanaan SBPA perlu sampai kepada kita (pasukan petugas) dalam tempoh sebulan ini dan pasukan petugas akan memanggil mereka untuk perbincangan lanjut, malah kita sudah menerima banyak maklum balas, termasuk menerusi e-mel. “Kita akan mengambil kira semua ini. Jika ada isu membabitkan perguruan umpamanya, kita akan memanggil Ketua Pengarah Pelajaran dan juga persatuan untuk perbincangan dan mencari penyelesaian,” katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan kepada 10 ahli pasukan petugas itu di sini, semalam.
  
Pasukan petugas itu ditubuhkan selepas kerajaan mengumumkan SBPA akan disemak semula dan perbincangan dengan pihak berkaitan diadakan bagi menyelesaikan isu dibangkitkan pihak tertentu berkaitan pelaksanaan SBPA.
Pasukan itu diberi tempoh dua bulan sehingga 16 April depan untuk mengkaji isu dibangkitkan dan seterusnya mengemukakan cadangan kepada kerajaan.
  Mohd Sidek berkata, pasukan petugas berkenaan akan berusaha mendapatkan penyelesaian terbaik mengenai isu dibangkitkan, tetapi menegaskan kerajaan mempunyai kekangan tertentu yang mungkin tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak. Komen Anda