Harian Metro
2hb November 2010
Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM), mengadakan perhimpunan secara aman di depan Dewan Canselor, semalam bagi memprotes pemansuhan Sistem Akademik Pekerja dan digantikan dengan sistem baru yang lebih rumit serta kurang praktikal.
Lebih 20 ahli persatuan berkumpul dengan matlamat membuat satu memorandum serta mengumpul tandatangan daripada semua kakitangan Universiti Malaya (UM) sebagai protes dan tidak bersetuju tindakan memansuhkan sistem yang sudah wujud sejak lebih 20 tahun lalu.
Presiden PKAUM, Profesor Azmi Sharom, berkata tindakan pengurusan universiti yang membelakangkan persatuan dalam membuat keputusan menggantikan sistem sedia ada amat dikesali.
Menurutnya, sistem sedia ada sudah diguna pakai sejak 1997 bagi tujuan perbincangan antara pekerja melalui e-mel dan laman sembang dalaman. Sistem berkenaan juga membolehkan ahli berhubung dan berbincang mengenai pelbagai isu dengan mudah serta cepat.
“Bermula hari ini (semalam), ia digantikan dengan sistem baru iaitu Forum UM yang tanpa sebarang perbincangan serta persetujuan menyeluruh daripada semua staf. Sistem baru ini agak rumit untuk dipraktikkan kerana perlu melalui pelbagai proses seperti menghadiri forum khas hanya untuk membincangkan sesuatu isu.
“Sistem baru ini juga seolah-olah ingin menyekat kebebasan kami bersuara serta menyampaikan pendapat dengan secara cepat tanpa sebarang halangan seperti dilakukan sebelum ini,” katanya yang ditemui di sini, semalam.
Azmi berkata, persatuan akan berkempen untuk mengumpulkan sebanyak mungkin tandatangan pekerja UM yang tidak bersetuju dengan pemansuhan sistem ini dan selepas itu akan menghantar memorandum bantahan kepada Lembaga Pengurusan Universiti.
Sementara itu, Ahli PKAUM, Profesor Datuk Azizan Abu Samah, yang juga antara individu terbabit secara langsung menubuhkan Sistem Akademik Pekerja, berkata tindakan pengurusan universiti memansuhkan sistem berkenaan adalah tidak menghormati sejarah kerana sistem perbincangan melalui emel itu adalah yang pertama di kampus, malah pertama seumpamanya di negara ini.
“Pihak pengurusan tidak hormati kami, sistem ini adalah milik kakitangan kerana kami yang bina dan menggunakannya. Ia penting untuk dikekalkan kerana memberi peluang kepada kakitangan seperti pensyarah dalam membuat perbincangan serta memberi pendapat secara telus dan cepat.
“Kami sedih dengan cara universiti menutup sistem ini, kalau betul pun mereka sudah tidak mahukannya perlulah ikut cara yang betul iaitu berbincang dengan kami supaya tidak timbul masalah berbangkit kerana kami juga yang akan menggunakannya nanti,” katanya.
-
Alhamdulilah, Tuan Haji Omar Bin Osman diumumkan Presiden CUEPACS bagi sesi 2010/2013 pada pemilihannya hari ini selepas menewaskan pencaba...
-
ASLANI M | 02 Julai 2014. BACHOK: Seorang penggawa di Kelantan mencatat sejarah apabila muncul sebagai kakitangan awam kumpulan B yang ...
-
Alhamdulillah,Setelah pihak KESATU memohon pada pihak pengurusan UIAM agar melaksanakan Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) No.11 Tah...