Friday, January 27, 2012

Bayaran gaji Februari berdasarkan SSM

2012/01/27 KUALA LUMPUR: Pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Februari akan dibayar berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia (SSM), selepas kerajaan memutuskan pembayaran gaji di bawah skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) hanya akan dibuat selepas semakan semulanya dimuktamadkan.
Kementerian Kewangan, dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan pembayaran baki perbezaan gaji Januari bagi penjawat awam yang memilih opsyen SBPA pada 31 Januari ini juga tidak dapat dilaksanakan seperti yang diumumkan sebelum ini pada 9 Januari. "Pembayaran pelarasan gaji berdasarkan SBPA hanya akan dibuat selepas semakan semula SBPA dimuktamadkan dengan mengambil kira tarikh kuat kuasa SBPA pada 1 Januari 2012," menurutnya. Menurut kenyataan itu, keputusan itu juga berdasarkan permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
  Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata jawatankuasa khas yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, diberikan tempoh tiga bulan bagi membuat kajian dan penambahbaikan pelaksanaan SBPA. - BERNAMA

Friday, January 20, 2012

MESYUARAT PERTAMA SEMAK SBPA SELEPAS TAHUN BARU CINA

18 Januari 2012

Utusan Malaysia
18/1/2012
PUTRAJAYA 17 Jan. - Mesyuarat pertama pasukan petugas bagi mengkaji semula pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dijangka diadakan selepas Tahun Baru Cina.
Pengerusinya, Tan Sri Ismail Adam berkata, pasukan petugas yang dianggotai pelbagai pihak itu akan mengenal pasti beberapa perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penjawat awam.
''Anggota pasukan petugas akan meneliti isu-isu berbangkit berhubung pelaksanaan SBPA, mereka akan membuat rumusan dan kita akan bertemu untuk berbincang mengenainya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Thursday, January 19, 2012

10 ahli pasukan khas semak semula SBPA

2012/01/19
Berita Harian

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam menyerahkan watikah perlantikan kepada 10 ahli pasukan petugas bagi menyemak semula Pelaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, pasukan khas dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam itu juga akan menjemput wakil kementerian, ketua skim perkhidmatan, kesatuan dan persatuan sekerja serta pihak berkaitan jika ada keperluan dalam usaha menyelesaikan isu berbangkit SBPA yang dikuatkuasakan 1 Januari lalu. “Semua isu berhubung pelaksanaan SBPA perlu sampai kepada kita (pasukan petugas) dalam tempoh sebulan ini dan pasukan petugas akan memanggil mereka untuk perbincangan lanjut, malah kita sudah menerima banyak maklum balas, termasuk menerusi e-mel. “Kita akan mengambil kira semua ini. Jika ada isu membabitkan perguruan umpamanya, kita akan memanggil Ketua Pengarah Pelajaran dan juga persatuan untuk perbincangan dan mencari penyelesaian,” katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan kepada 10 ahli pasukan petugas itu di sini, semalam.
  

Friday, January 13, 2012

Tangguh SBPA: Jangan salahkan kami, kata Cuepacs

NURUL NADIA MOHD KAMARUZAMAN

January 13, 2012

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menegaskan, pihaknya tidak patut dipersalahkan atas keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang diumumkan secara rasmi semalam.
Keputusan penangguhan dibuat oleh Kabinet dalam mesyuarat mingguannya kelmarin.

Lewat petang semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan SBPA akan disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan skim itu, yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu.
Dalam laporan eksklusif semalam, Sinar Harian Online memetik sumber-sumber berkata, Kabinet telah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan SBPA atas beberapa sebab, antaranya kerana rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

Mengulas isu ini, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, dari awal lagi pihaknya tidak terlibat dalam perancangan dan perbincangan mengenai SPBA.
Malah katanya, Cuepacs telah cuba membantah pelaksanaan SBPA kerana sudah menyedari implikasinya, seperti yang disaksikan sekarang.
"Tidak boleh salahkan Cuepacs, semua mahu tumpu pada kami, kalau dulu benda baik Cuepacs buat tidak mahu tumpu, ucap terima kasih pun jarang," katanya ketika ditemui Sinar Harian Online di sini, malam tadi.
Cuepacs mengadakan mesyuarat khas malam tadi bagi membincangkan keputusan penangguhan SBPA.

Tegasnya, Cuepacs sudah dapat menjangkakan rasa tidak puas hati kakitangan awam akan berlaku apabila melihat ketidakseragaman perubahan gaji antara kumpulan gred 27 dan ke atas, yang mengalami kenaikan ketara antara 20 hingga 40 peratus berbanding gred-gred rendah.

Ketika mengumumkan pelaksanaan SBPA dalam ucapan Bajet 2012, Perdana Menteri berkata SBPA, yang memperkenalkan sistem gaji satu lapis, akan membawa kenaikan antara tujuh hingga 13 peratus.
"Apabila lihat skim SPBA ini, kita dapati, kumpulan Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) ke atas, terdapat peratusan naik sampai 50 peratus, terlalu tinggi sedangkan kumpulan gred bawahan hanya empat peratus.
"Macam langit dan bumi. Ini memang mengundang perasan marah.

"Cuepacs tidak mahulah nanti ada yang dapat kenaikan hanya RM40 tapi gred atas sampai RM40,000... perkara ini perlu disemak semula kerana sepatutnya skim ini menceriakan penjawat awam dengan adil dan sama rata," katanya.
Omar berkata, sebelum ini Cuepacs ada diberi taklimat bagaimana skim SPBA berfungsi - dalam menyelaraskan kenaikan gaji penjawat awam, namun kecelaruan berlaku ketika hendak dilaksanakan mulai 1 Januari lalu.

Thursday, January 12, 2012

PM: Skim Saraan Baru disemak semula

Bernama 8:10PM Jan 12, 2012

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula.
Semakan tersebut bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan SBPA.
"Setelah semakan semula tersebut dimuktamadkan, SBPA akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jemaah Menteri semalam memutuskan supaya pelaksanaan SBPA itu disemak semula.
Katanya semakan SBPA itu dibuat setelah berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Najib berkata semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini.
Najib juga berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.
"Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak," katanya.
Satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat, katanya.

HI-TEA WITH IIUM HOLDINGS GROUP OF COMPANIES

KESATU telah menerima jemputan secara rasmi ke HI-TEA WITH IIUM HOLDINGS GROUP OF COMPANIES ,pada :

Date : Rabu, 11 Januari 2012
Time : 3.00 pm
Venue : Level 3, Multi Purpose Hall (MPH)
            Facilities Food and Services Unit
            International Islamic University Malaysia

Exco KESATU YANG HADIR
1. Tn. Hj Yazid B Hj Ahmad -Presiden
2. Br Fakhrurrazi B Danial -Timbalan Presiden
3. Br Khalid B Muhammad -Setiausaha
4. Sr Aznita Bt Ahmad Zaini -EXCO
5. Sr Salmah Bt Md Shah -EXCO

Harap Maklum

PERJUMPAAN KALI PERTAMA ANTARA REKTOR UIAM DAN PARENTS COMMITTEE IIUM EDUCARE DAN WAKIL KESATU

PERJUMPAAN KALI PERTAMA ANTARA REKTOR UIAM DAN PARENTS COMMITTEE IIUM EDUCARE DAN WAKIL KESATU


Date : Rabu, 11 Januari 2012
Time : 5.15 pm
Venue : Conference Room Rector Office
Level 4 : Rectory Building
              International Islamic University Malaysia

Pertemuan ini membincangkan isu-isu berkenaan dengan yuran serta kebajikan staff UIAM dan staff IIUM EDUCARE. Satu cadangan daripada Parents Committee telah dibentangkan kepada YBhg. Dato’ Seri Zaleha, Rektor UIAM dan beliau memaklumkan akan ada satu perjumpaan semula yang akan dilakukan 2 minggu daripada pertemuan ini bagi membincangkan semula berkenaan isu-isu tersebut.

Harap Maklum.

SEMINAR PERANAN KESATUAN SEKERJA DALAM MENJADIKAN MALAYSIA NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI 30 NOVEMBER 2011

Untuk Pengetahuan Ahli KESATU, KESATU telah menghantar wakil ke SEMINAR PERANAN KESATUAN SEKERJA DALAM MENJADIKAN MALAYSIA NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI pada 30 Nov 2011 yang lalu.Dimana maklumat lanjut seminar tersebut adalah seperti dibawah :

Date : Rabu, 30 November 2011
Time : 8.00 pagi -5.30 petang
Venue : Hotel Concorde, Shah Alam

Perasmi : YB Datuk Seri Dr. S. Subramaniam
Menteri Sumber Manusia

Exco KESATU yang hadir : Br. Khalid Muhammad
                                           Br. Mohd Hamri Rahmat
                                           Sr. Salmah Md Shah
                                           Sr. Aznita Ahmad Zaini

Sekian Harap Maklum.

Monday, January 9, 2012

Bayaran gaji Januari berdasarkan SSM

2012/01/09
KUALA LUMPUR: Pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Menurut satu kenyataan Kementerian Kewangan hari ini, perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan dibayar pada 31 Januari ini.
"Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari 2012 berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari 2012," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pembayaran gaji bulanan di bawah SBPA akan dibuat seperti biasa mengikut jadual mulai Februari. - BERNAMA